DERMA DAN CUKAI

Artikel ini telah ditulis dan disiarkan dalam majalah Sosial Bispoint pada  16 Julai 2019.

MENDERMA dan memberi hadiah dengan ikhlas adalah satu amalan mulia. Pastinya usahawan tidak mahu ketinggalan melakukan amalan ini, jika ada lebihan.

Pemberian derma dan hadiah yang menggunakan dana perniagaan perlulah direkod sebagai perbelanjaan derma atau hadiah. Di dalam perakaunan, perbelanjaan ini akan ditolak daripada untung kasar perniagaan, seterusnya mengurangkan keuntungan.

Walaupun begitu, di dalam pengiraan cukai, tidak semua amaun derma dan hadiah itu boleh mengurangkan cukai atas keuntungan. Derma dan hadiah termasuk dalam kategori perbelanjaan yang dibenarkan dengan syarat seperti yang tertakluk dalam Subseksyen 44, Akta Percukaian, 1967.

Akta tersebut antara lain mengehadkan jumlah dan syarat kepada penerima derma dan hadiah.

Contohnya: Perniagaan A menderma kepada organisasi B.

Derma boleh mengurangkan cukai hanya jika organisasi B adalah organisasi yang berdaftar dan diluluskan di bawah Subseksyen 44(6), Akta Percukaian, 1967.

Amaun yang dibenarkan untuk tolakan pula adalah terhad kepada 7% daripada pendapatan agregat perniagaan. Organisasi B mempunyai resit rasmi yang akan mengesahkan pemberian derma tersebut.

“Oh, jadi yang saya derma banyak-banyak setiap bulan tu tak boleh tolaklah?  Rugilah”

Tak rugilah. Tak dapat di dunia, pasti dapat di akhirat! Masa beri tu ikhlas kan? 🙂

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram