Menu
Artikel ini telah ditulis dan disiarkan dalam majalah Sosial Bispoint pada 16 Jun 2019.
SELAIN perbelanjaan biasa perniagaan yang dilakukan sepenuhnya dan semata-mata untuk menghasilkan pendapatan, perbelanjaan keraian juga boleh ditolak daripada jumlah pendapatan kasar. Perbelanjaan keraian tertakluk kepada takrifan dan peruntukan Seksyen 18, Subseksyen 33 (1) dan proviso (iv) kepada perenggan 39 (1)(l), Akta Cukai Pendapatan, 1967.
Antara perbelanjaan yang dibenarkan sepenuhnya ialah perbelanjaan meraikan pekerja, seperti majlis makan malam tahunan, temasya, hari keluarga atau keahlian kelab kepada pekerja-pekerja.
Jika mempunyai perancangan cukai yang baik, usahawan boleh menganggarkan berapakah cukai yang mungkin dikenakan kepada perniagaan berdasarkan prestasi perniagaan tahun tersebut. Jika ingin mengurangkan cukai, perbelanjaan meraikan pekerja mestilah dilakukan sebelum berakhirnya tempoh perakaunan bagi tahun taksiran tersebut.
Perbelanjaan mestilah semata-mata untuk meraikan pekerja dan bukan sampingan kepada peruntukan keraian kepada orang lain. Contohnya, penganjuran majlis makan malam untuk meraikan pekerja menelan belanja sebanyak RM20,000, maka jumlah ini boleh dibenarkan sepenuhnya. Perniagaan dikehendaki menyimpan rekod-rekod berkaitan dengan perbelanjaan keraian yang dilakukan sebagai dokumen sokongan.
Jika ada peluang mengurangkan cukai dan menggembirakan pekerja-pekerja, kenapa tidak diambil kedua-duanya?
Bak kata orang-orang sekarang, ‘benda boleh belanja pekerja, kenapa nak bayar cukai?’ 🙂